Saturday, August 24, 2013

Tangisan Sebuah Kesetiaan (Bab 4)




BAB 4
Firash Farhan memacu laju Kia Forte berwarna merah miliknya, bibirnya mengukir senyuman puas. Tidak menyangka yang dia akhirnya akan bertemu dengan Qaireen Nurjannah di tempat kerja barunya.
Ya, dia kenal dengan wanita itu. Walaupun cuma mengenali paras wajahnya saja,dengan wanita itulah dia pernah bergaduh suatu ketika dahulu. Bergaduh kerana perkara temeh saja, berebut gelanggang futsal sewaktu mereka masih belajar di Universiti Teknologi Mara, Puncak Perdana suatu ketika dulu.
Dia kembali mengulit kenangan yang sentiasa mencuit hatinya, sayang dia hanya sempat berjumpa dengan Qaireen waktu itu saja. Tambahan pula mereka masing-masing sudah berada di tahun akhir pengajian peringkat Ijazah, malah berlainan jurusan pula. Qaireen merupakan seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Maklumat, dan dia pula pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri Kreatif.
Brader, boleh tak bagi can kami pula main malam ni? Korang kan dah main petang tadi,” Itulah ayat pertama yang terkeluar dari mulut Qaireen waktu itu. Memang dia minah brutal zaman belajar tapi dalam dirinya penuh cahaya kesopanan.
“Alah, kami yang sampai dulu kot,” Firash membalas, dia senyum saja tapi penuh sinis.
“Adillah sikit, kami pun nak main juga, nak lepaskan stress juga,”
“Korang kan perempuan, apa kata balik bilik layan cerita korea,”
“Serious sikit boleh tak? Pengetua Kolej buat gelanggang ni untuk dikongsi…bukan makan sorang!”
“Tak dengar…tak dengar…”
Sedang khusyuk bermain, tiba-tiba salah seorang daripada teman Firash tertendang kuat bola futsal lantas terkeluar dari gelanggang. Inilah saat-saat yang ditunggu-tunggu Qaireen, dengan pantas dia menangkap bola tersebut lantas menendang sekuat hati sehingga terlepas ke parit besar sebelah gelanggang futsal.
“Bola aku weii! Mahal tahu tak!”
“Nah! Aku gantikan dengan bola aku! Padan muka, puas hati aku!”
Qaireen berlalu dengan gelak tawa penuh kepuasan dalam hatinya, rasakan. Wanita sepertinya jangan cuba dibuat main.
Kerana peristiwa itulah dan pertemuan penuh kebencian itulah yang membuatkan Firash bertekad di dalam hatinya, jika diberikan peluang untuk bertemu kembali dengan Qaireen dia pasti akan balas dendam dengan menyakitkan hatinya pula.
Barangkali memang tuah memihak padanya, bila dapat tawaran kerja saja selepas 3 tahun bekerja dia dapat jawatan sebagai Penolong pengurus di syarikat yang sama di mana Qaireen bekerja. Inilah peluang terbaik buatnya untuk balas dendam, memang agak keanak-anakkan tapi apa dia peduli janji dia dapat sakitkan hati dan menyusahkan hidup wanita yang bernama Qaireen Nurjannah itu.